Sekolah ini mula beroperasi dengan nama SM Sg. Gedong. Pada awalnya sekolah ini menumpang di bangunan tambahan SM Bagan Serai selama 2 tahun 8 bulan. Pada masa tersebut, sekolah ini mempunyai pelajar sulung seramai 120 orang, 8 orang guru dan seorang kerani. Pada September 1991, sekolah ini telah berpindah ke bangunan sendiri yang terletak di Batu 14, Telok Medan, Bagan Serai. Lokasi ini terletak berhampiran Sungai Kurau dengan jarak kurang 10 kilometer daripada Bandar Bagan Serai.
Pada Oktober 1991, seramai 112 orang pelajar telah mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran ( SRP ) dengan kelulusan sebanyak 84.4%. SM Sungai Gedong telah dirasmikan oleh yang Teramat Mulia, Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah pada bulan Mei 1992 dan telah ditukarkan nama kepada SMK Abu Bakar Al - Baqir atau singkatannya SABAR. Pada tahun 1993, SABAR telah melahirkan keluaran sulung graduan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) dengan kelulusan sebanyak 75.8%. Sekolah kencanapurinya terdiri daripada murid - murid SK Parit Haji Aman, SK Dato' Mas'ud dan SK Telok Medan.
Pada ketika ini, sekolah ini mempunyai 41 buah kelas dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 dengan bilangan pelajar seramai 1180 orang, 84 orang guru dan 15 orang staf sokongan. Sekolah ini juga mempunyai dua kategori aliran iaitu Kelas Aliran Arab ( KAA ) yang mula beroperasi pada tahun 1989 dan Kelas Rancangan Khas ( KRK ) yang bermula pada tahun 2005. Kelas tingkatan 6 juga mula dibuka pada tahun 2005.
Berteraskan Visi Sekolah iaitu ' Bersama Menjadikan SABAR Ternama Menjelang Tahun 2010 ', SABAR menanam azam untuk merealisasikan setiap perancangan dalam pelbagai aspek demi memastikan kejayaan yang berterusan dan berkekalan. Nama SABAR kian gah di persada keunggulan baik di bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Semoga nama SABAR sentiasa harum mewangi sepanjang zaman.